Sasar 90 peratus murid orang asli ke sekolah

Aminolhuda (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada warga emas pada Majlis Jamuan Jalinan Ukhuwah di Kampung Tengah Renggam, Kluang hari ini.
Aminolhuda (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada warga emas pada Majlis Jamuan Jalinan Ukhuwah di Kampung Tengah Renggam, Kluang hari ini.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi memastikan sasaran 90 peratus kehadiran murid orang asli di negeri ini ke sekolah tercapai.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan berkata, JPNJ dan Jakoa juga perlu kreatif seperti memperkenalkan insentif-insentif tertentu agar para pelajar orang asli ini tertarik untuk hadir ke sekolah.

"Sebagai contoh, mungkin sekolah boleh sediakan hadiah setiap bulan sama ada dalam bentuk wang tunai, pakaian dan barangan keperluan harian kepada anak-anak orang asli yang kehadirannya ke sekolah melebihi 90 peratus.

"Kerajaan negeri sendiri juga sudah menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran pendidikan dalam kalangan orang asli dengan memotivasikan dan menaikkan semangat mereka untuk bersaing dengan masyarakat bandar yang jauh lebih maju dari pelbagai aspek," katanya.

Beliau berkata pada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Jalinan Ukhuwah di Balai Raya Kampung Tengah Renggam di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Tengah Renggam, Mohd Rafiee Saiman dan Penghulu Mukim Renggam, Mohd Asmi Mislan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan meletakkan kunci indeks prestasi (KPI) untuk kehadiran murid orang asli ke sekolah bagi tahun 2019 pada sasaran 90 peratus.

Menurutnya, kementerian juga telah melaksanakan program Transformasi Pendidikan Orang Asli dan hasilnya pencapaian peratus kehadiran murid orang asli menunjukkan peningkatan 3.23 peratus pada tahun 2019 berbanding pencapaian tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berharap akan terdapat lebih banyak kilang kimia di sekitar Pasir Gudang yang bersetuju untuk menjadikan sekolah di kawasan pencemaran sebagai sekolah angkat memandangkan ketika ini hanya 44 daripada 250 kilang sahaja yang bersetuju.

"Kilang-kilang ini juga boleh berkongsi sekolah angkat kerana mungkin daripada 111 sekolah, hanya ada 60 sekolah sahaja yang lebih terdedah dengan pencemaran ini dan diberi keutamaan kerana dekat dengan kawasan industri kerana ada juga sekolah yang jauh dari kawasan tercemar ini.

"Saya juga minta JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang untuk kenal pasti berdasarkan rekod jumlah sekolah dan pelajar yang paling terkesan dengan insiden Sungai Kim-Kim dan memastikan sekolah yang betul-betul terjejas sahaja yang diberi keutamaan," katanya.