Puspakom tak kompromi keselamatan kenderaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) tidak akan berkompromi terhadap kenderaan yang gagal mengikut piawaian ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data pemeriksaan Puspakom bagi bas-bas sekolah, lebih 26,000 pemeriksaan berkala dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019.

“Daripada jumlah berkenaan, terdapat lebih 7,300 bas sekolah atau 28 peratus telah gagal pemeriksaan Puspakom kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan.

“Pemeriksaan tersebut merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan,” kata kenyataan itu.

Menurut Puspakom, pihaknya menghantar laporan pemeriksaan bas sekolah selepas insiden murid tahun enam yang maut akibat ‘jerlus’ dari bas sekolah yang sedang bergerak kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Rabu lalu.

“Bas sekolah yang terlibat dalam insiden di Kelantan telah melalui pemeriksaan berkala pada Mei lalu, dan berdasarkan rekod serta gambar-gambar pemeriksaan Puspakom mendapati bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam berkeadaan baik,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, Puspakom berkata, tidak akan memberi komen lebih terperinci mengenai laporan tersebut kerana ia masih di bawah siasatan polis.

Artikel Berkaitan:

“Puspakom menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa dan serahkan kes ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan yang menyeluruh,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan dipercayai akibat terpijak lantai bas berlubang yang sedang bergerak di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan.

Difahamkan, mangsa bersama rombongan sekolahnya dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Besut, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM).

ARTIKEL BERKAITAN: Bas lantai reput lulus pemeriksaan Puspakom