'Port' pelajar sekolah beli arak diserbu polis

Mohd Zaini Che Din menunjukkan arak dan rokok yang dirampas dalam dua serbuan berasingan.
Mohd Zaini Che Din menunjukkan arak dan rokok yang dirampas dalam dua serbuan berasingan.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua kedai runcit yang menjual arak dan rokok kepada pelajar sekolah diserbu polis dalam dua serbuan berasingan sejak Rabu hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zaini Che Din berkata, serbuan dilakukan susulan polis menerima maklumat awam kedai berkenaan menjual arak tanpa lesen dan rokok seludup kepada orang awam termasuk pelajar sekolah.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di kedai runcit di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada jam 1.30 petang menahan seorang lelaki tempatan.

"Dan serbuan kedua dilakukan semalam sekitar jam 3.30 petang di sebuah kedai runcit di Desa Temuan Bandar Damansara menahan dua lelaki warga negara India. Semua suspek berusia 25 hingga 55 tahun," katanya pada sidang media di Balai Polis Damansara hari ini.

Mohd Zaini berkata, dalam kedua-dua serbuan polis merampas 607 tin dan botol arak pelbagai jenama serta tiruan dan 32 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM10,490.

Antara arak yang dirampas polis.
Antara arak yang dirampas polis.

"Polis menemui minuman rokok dan arak disimpan di dalam peti ais dan disorok di loteng premis yang diserbu," katanya

Mohd Zaini menambah, kegiatan ini dipercayai telah berlarutan sejak enam bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan semua suspek direman hingga Ahad ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zaini menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli dan meminum arak yang dijual tanpa lesen kerana terdapat beberapa jenama yang dikhuatiri mengandungi kandungan metanol yang tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan.

"Operasi ini dijalankan juga sebagai usaha polis menangani kegiatan penjualan arak dan rokok kepada remaja dan pelajar sekolah," katanya.