Tiga lelaki ditahan terlibat kes lerai kereta curi

Polis merampas rangka kenderaan dan komponen kereta dalam serbuan di dua lokasi berasingan.
A
A

KUALA SELANGOR - Tiga lelaki termasuk seorang pemilik bengkel ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes meleraikan komponen kereta curi sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Md Asri A Wahab berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 22 hingga 59 tahun itu ditahan jam 1 petang dalam dua serbuan di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang dan Bukit Belimbing di sini kelmarin.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai melerai dan menjual komponen tersebut ke bengkel membaiki kenderaan.

"Suspek dipercayai bergiat aktif meleraikan komponen kereta sejak Mac lalu.

"Hasil serbuan di sebuah bengkel, polis merampas komponen kereta dileraikan, mesin gerinda dan pemotong. Turut dirampas rangka sebuah kereta Perodua Kancil berserta enjin dan komponen kereta Proton Iswara yang dilaporkan hilang sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK).

"Polis giat melakukan risikan dan serbuan bagi mengurangkan kadar jenayah indeks terutama melibatkan kecurian kenderaan.

"Kita akan buat pemantauan dan pemeriksaan terhadap semua bengkel haram dan kedai besi buruk sekitar daerah ini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia