Melaka selari had umur belia

Adly ketika sidang media selepas mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Adly ketika sidang media selepas mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan yang mengubah had belia 15 hingga 30 tahun dalam memperkasakan suara anak muda.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya mengambil positif usaha kerajaan untuk transformasi perkara berkenaan yang diyakini mampu memberikan manfaat berskala besar kepada golongan tersebut dengan meremajakan institusi belia.

Menurutnya, beliau yakin langkah tersebut dapat memberikan impak kepada kumpulan itu yang boleh diberikan peluang besar termasuk sama ada melibatkan diri dalam pembangunan negeri mahupun negara.

"Kita menerima pakai penetapan umur bagi golongan belia dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun seperti yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana peruntukan program disalurkan KBS berdasarkan kepada Dasar Persekutuan.

"Sekarang di Melaka kita boleh melihat ada Exco berusia 27 tahun, iaitu Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Kerk Chee Yee dalam pentadbiran kerajaan negeri," katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688) yang turut bertujuan menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun pada 3 Julai lalu.

Rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mengadakan peruntukan bagi had umur minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan suatu pertubuhan belia berdaftar, dengan tidak kurang daripada 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Dalam pada itu, Adly berkata, dua PAWE diwujudkan berlokasi di Paya Rumput di sini dan Merlimau, Jasin dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap premis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peruntukan penubuhan itu membabitkan pembelian peralatan, pembaikan dan pengubahsuaian premis serta pengoperasian PAWE sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lima buah PAWE termasuk di Alor Gajah, Bukit Baru dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.

"Ini adalah satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Setakat ini juga peruntukan belanja bagi menguruskan setiap PAWE dianggarkan berjumlah RM33,330 pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 724 warga emas," katanya.