Tak semua orang faham: Dai Syed

Dai' Syed
Dai' Syed
A
A
A

INDUSRTI seni dan hiburan tanah air hari ini semakin meriah dengan kehadiran pendakwah bebas seperti PU Rizz dan Pu Azman.

Ternyata program seperti Pencetus Ummah Nusantara dan Dai’ Pendakwah Milenia turut memberi peluang kepada pendakwah muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni.

Terkini, pendakwah muda Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail, 24, atau lebih dikenali Dai’ Syed turut mengikut jejak langkah pendakwah sebelumnya.

Pendakwah muda ini sudah mempunyai tiga single berjudul Keagungan Cinta-Mu ciptaan Aiman Zul 2 By 2 dan lirik bersama Syed. Manakala single kedua, Ya Rasulullah, karya Seif Jamalullail dan terbaharu, Arah hasil sentuhan Omar K, Ikhwan Fatanna dan Shazee.

Menurut Syed, bakat yang dimiliki akan digunakan sebaik-baiknya untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai.

“ALLAH kurniakan bakat kepada saya dengan kebolehan menyanyi dan berlakon, jadi saya gunakan ke arah jalan kebaikan sebagai landasan untuk menarik orang ramai supaya dekat dengan agama.

“Alhamdulillah, ibu bapa tidak menghalang minat saya cuma mereka pinta supaya jangan lupakan ALLAH dan agama.

“Dalam ceramah, saya selalu menyanyi atau berlakon supaya hadirin ataupun penonton tidak mengantuk.

Artikel Berkaitan:

“Jadi begitulah antara cara kreatif saya untuk menarik minat anak-anak muda supaya mendekati dan hadir ke kuliah agama,” katanya kepada Sinar Harian.

Dai' Syed
Dai' Syed



Berkelulusan dalam pengajian Islam dan bahasa Arab di Maahad Buuth Islamiyah, Kaherah, Mesir, selain menyanyi dan berlakon, Syed turut menggunakan platform media sosial untuk menarik orang ramai lebih mendekati agama.

“Media sosial ini luas untuk diakses oleh sesiapa tanpa batasan umur juga bangsa. Saya boleh menggunakan platform ini untuk perkongsian ilmu pengetahuan yang saya pelajari seperti ilmu fardu ain.

“Begitupun tak semua orang faham, sebaliknya yang terbaik berjumpa depan-depan dan tanya soalan supaya lebih mudah untuk difahami,” jelasnya.

Sementara itu, bercakap fasal penampilan diri yang bersahaja seperti remaja seusianya, Syed tidak terlepas daripada kecaman netizen.

“Bila membawa nama dai’ ini masyarakat kebanyakannya akan mempertikaikan saya kerana penampilan diri yang tidak seperti pendakwah lain

“Dari segi kecaman saya tak ambil peduli. Saya anggap kecaman itu hanyalah satu mesej nasihat, andai dihina dimaki saya lupakan sahaja,” katanya dengan nada lembut.