Mereka bukan seorang pejuang: Khaled

Mohamed Khaled Nordin
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli politik yang meninggalkan Umno untuk memilih menjadi Bebas mahupun menyertai wadah lain, bukan seorang pejuang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebaliknya, kelompok itu ialah golongan yang tewas dalam perjuangan.

“Tiada sekelumit nilai perjuangan yang boleh diteladani. Yang benar dalam perjuangan ialah mereka yang mengambil tanggungjawab.

"Yang bertahan teguh pada prinsip dan pendirian. Biar apa pun kesukaran dan cabarannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mahu Umno terus dibelenggu keresahan dengan pemergian kumpulan tersebut.

"Yang pergi, biarkan pergi. Yang tinggal, harus bangkit dan menjalankan tanggungjawab bersama," katanya.

Menurutnya, terdapat beberapa pengajaran boleh diperhati dan dijadikan teladan iaitu tindakan lari dari parti menunjukkan sisi sebenar diri yang selama ini tidak diketahui.

"Kedua, tindakan mengalu-alukan pelarian Umno menunjukkan kerapuhan kedudukan dan sisi sebenar penerimanya.

"Ketiga, senario lari parti oleh pemimpin Umno mendorong kita untuk menyemak semula maksud perjuangan dan iltizam politik," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang itu berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih sedalamnya kepada Bersatu kerana menerima ‘hadiah’ dari Umno.

"Terimalah ahli-ahli Umno yang berpindah ke Bersatu sebagai hadiah ikhlas dari kami semua.

“Percayalah, pemergian ahli Umno dan kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak akan membuatkan kami hilang tidur. Sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam," katanya.

Menurutnya, kelompok tersebut adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan Umno dan akan menyebabkan sakit dan reah walau di mana mereka berada.

"Saya tidak mahu mendoakan. Tetapi, saya yakin virus-virus penyakit yang selama ini membarah dalam Umno, pasti akan menjadi sebahagian daripada darah daging Bersatu pula," katanya.

Mohamed Khaled berkata, beliau yakin kelompok tersebut akan menjadikan Bersatu seperti Umno.

"Gelarlah ia Bersatu, tetapi sebenarnya, ia adalah Umno 2.0 atau 3.0. Nama bukan sesuatu yang penting. Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik naungan dan wang.

"Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk diri mereka. Pengikut-pengikut mereka, penyokong-penyokong mereka, pasti akan ditarik masuk ke dalam Bersatu," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kelompok itu akan melebarkan pengaruh dan seterusnya mengambil alih Bersatu.

"Sedikit demi sedikit, yang ‘Bersatu’ akan ‘Berpecah’. Bersatu akan menyaksikan kem-kem baharu iaitu kem ahli sejati dan pejuang asal Bersatu dan kem ‘pendatang’ dan ahli bawaan alumni Umno.

"Pada saat itu, kalian akan melihat, mengapa Umno tidak pernah gusar dengan pemergian mereka," katanya.