Malaysia-Indonesia sedia bekerjasama tangani isu perikanan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (empat, kiri) bersama Menteri Kelautan Dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti (tiga, kanan) selepas menerima Kunjungan Hormat Daripada Menteri Kelautan Dan Perikanan Indonesia itu di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (empat, kiri) bersama Menteri Kelautan Dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti (tiga, kanan) selepas menerima Kunjungan Hormat Daripada Menteri Kelautan Dan Perikanan Indonesia itu di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu perikanan dan pencerobohan perairan oleh nelayan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata oleh itu beliau menyambut baik perjumpaan buat kali pertama dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti di sini, hari ini.

Beberapa perkara termasuk penangkapan ikan secara haram di perairan kedua-dua negara telah dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagi masalah itu.

"Kita bersetuju tadi yang pertama adalah mengadakan 'joint communique' untuk mengeratkan kerjasama dalam bidang perikanan ini," katanya selepas bertemu dengan Susi di sini, hari ini.

Salahuddin juga berkata kedua-dua pihak akan berunding selanjutnya dan memperincikan perkara-perkara berkaitan bidang perikanan dan hasil perbincangan itu akan dibawa ke peringkat kabinet untuk diputuskan.

"Kita berbincang lama mengenai isu ini dan kita harus memastikan penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) tidak berlaku dalam perairan Malaysia dan juga tiada vesel Malaysia mencerobohi perairan mana-mana negara," katanya

Sementara itu, Susi juga bersetuju yang perjumpaan hari ini dengan Salahuddin boleh memberi kesan positif dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara sambil mengemukakan jalan penyelesaian yang baik dalam menangani isu-isu perikanan yang dibincangkan kedua-dua pihak.

"Kunjungan saya adalah bagi memohon kerjasama Menteri Pertanian Malaysia untuk kita bersama-sama memerangi penangkapan ikan secara haram sambil menjaga sumber daya perikanan serta melindungi sumber lautan," katanya kepada pemberita. -Bernama

Artikel Berkaitan: