Durian pun boleh COD...

Zainur tidak menyangka perniagaan durian yang diusahakannya melalui laman sosial Facebook mendapat sambutan menggalakkan iaitu antara 70 hingga 80 tempahan sehari. - FOTO BERNAMA
Zainur tidak menyangka perniagaan durian yang diusahakannya melalui laman sosial Facebook mendapat sambutan menggalakkan iaitu antara 70 hingga 80 tempahan sehari. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bijak dan Kreatif! Itu gambaran yang boleh diberikan kepada dua gadis dari Kuala Nerus yang mencipta kelainan dengan menjalankan perniagaan durian secara 'cash on delivery' (COD) atau bayar selepas terima.

Berpegang kepada prinsip tiada istilah malu dalam berniaga, Zainur Saffi, 32, dan sepupunya, Nurul Atiqah Aidil, 25, menangkis perasaan malu yang menebal dalam diri lebih-lebih lagi apabila perniagaan yang dijalankan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Zainur berkata idea untuk berniaga durian secara COD timbul selepas mendapati konsep jualan itu sentiasa mendapat sambutan masyarakat disebabkan kesibukan urusan seharian mereka.

"Pada hari-hari biasa saya bekerja sebagai 'runner' (penghantar barang), tetapi apabila tiba musim durian saya akan tolong bapa berniaga di sekitar Batu Enam.

"Disebabkan terlalu ramai peniaga durian pada tahun ini, saya serta Nur Atiqah terpaksa memikirkan kaedah jualan lain yang lebih efektif bagi melariskan jualan dan dari situlah datangnya idea jualan COD," katanya.

Zainur berkata beliau tidak menyangka perniagaan durian yang diusahakannya melalui laman sosial Facebook mendapat sambutan menggalakkan iaitu antara 70 hingga 80 tempahan sehari.

Setiap hari beliau dan Nur Atiqah keluar rumah sekitar pukul 10 pagi untuk menghantar tempahan dan pulang ke rumah kira-kira pukul 8 malam.

Walaupun penat, pendapatan bersih yang diterima agak lumayan iaitu sekitar RM500 sehari menyebabkan dua gadis bujang ini semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan itu sehingga musim durian berakhir.

"Tahun-tahun sudah saya hanya berniaga di gerai tepi jalan dan setiap hari jualan hanya sekitar RM20 atau RM30 selonggok.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi dengan konsep perniagaan baharu ini, saya pernah menjual sehingga 100 longgok durian sehari yang dijual dengan harga RM35 selonggok," katanya yang menjalankan penghantaran di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang.

Selain itu bagi memastikan kepuasan pelanggan, Zainur berkata buah yang rosak boleh ditukar semula tanpa ada caj penghantaran tambahan walaupun hanya sebiji.

Namun begitu menurutnya, sepanjang dua bulan berniaga, tidak banyak aduan diterima dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan kualiti durian kampung yang dijual walaupun saiznya agak kecil.

"Bekalan durian pelbagai jenis diperoleh setiap hari dari Segamat, Johor yang tiba dengan lori di sini pada waktu Subuh.

"Kami memang pastikan durian yang dijual adalah bekalan baharu kerana mahu menjaga kebajikan pelanggan dan yang penting mendapat keberkatan rezeki daripada ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Zainur turut berkongsi petua bagi memastikan bau durian tidak melekat pada kereta iaitu dengan cara meletakkan tangkai durian yang dibelah tengah pada tingkap pendingin hawa kenderaan. - Bernama