Nazri tak setuju BN lantik Najib jadi penasihat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak bersetuju tindakan parti itu melantik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Mohamed Nazri yang sebelum ini dikenali sebagai pemimpin yang kuat mempertahankan Najib berkata, pelantikan Najib adalah langkah ke belakang.

Malaysiakini melaporkan, Mohamed Nazri berkata perkembangan tersebut tidak baik buat UMNO.

"Saya rasa ia regresif, kita (BN) kalah bawah siapa? Apa jenis nasihat yang beliau boleh berikan?" soalnya lagi sambil membangkitkan Najib sudah didakwa di mahkamah dan kini berdepan dengan perbicaraan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Najib dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Menurutnya, keputusan sebulat suara itu dibuat oleh Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat malam tadi.

“Beliau akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib yang berkongsi surat pelantikan itu di laman sosial Facebooknya menulis, "Onnnnnn. Saya menerima pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN. Kita lawan PH bersama.Tumbangkan kerajaan yang hanya mementingkan kroni dan menyusahkan rakyat ini."

Mesyuarat semalam turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Kaa Siong, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan sayap Wanita, Pemuda dan Wanita UMNO.