Audit keselamatan di taman permainan awam penting

 Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu audit keselamatan yang rapi ke atas semua taman permainan awam di seluruh negara perlu dilaksanakan bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengenal pasti masalah dan mengambil tindakan yang wajar bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) itu berkata, dalam kejadian baru-baru ini melibatkan seorang budak perempuan berumur 15 tahun mati akibat kemalangan di taman permainan di Kepong patut dijadikan pengajaran bahawa aspek keselamatan di taman permainan tidak boleh dipandang ringan.

Menurut Lam Thye, satu kajian oleh Persatuan Keselamatan Taman Permainan Malaysia (PSAM) menunjukkan bahawa 75.6 peratus daripada taman permainan berada dalam keadaan tidak baik dengan 50 peratus peralatan dan kemudahan di taman permaianan didapati sudah berkarat serta boleh membahayakan kepada kanak-kanak.

“Pihak berkuasa tempatan, dengan bantuan agensi yang mempunyai kepakaran, perlu melaksanakan audit dan mendapatkan Sijil Pemeriksa Keselamatan Taman Permainan (CPSI) untuk bekerjasama dengan kontraktor ketika pemasangan dan penyeliaan taman permainan di bawah bidang kuasa mereka.

“Pihak berkuasa tempatan boleh juga melatih pekerja atau kontraktor mereka agar sentiasa mengawasi taman permainan di samping menyediakan papan tanda di setiap peralatan bagi membantu orang awam mengenai cara penggunaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lam Thye rantai buaian yang berkarat, bar pemegang dan tempat letak kaki yang tertanggal, spring kerusi goyang yang rosak dan ruang luas di pejalan kaki adalah antara masalah yang terdapat di taman permainan awam di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata masalah paling biasa ialah permukaan dan lantai di kawasan permainan tidak rata, rosak, reput atau dipenuhi kulat, sudah rosak teruk atau tertanggal daripada lantai konkrit.

“Ini adalah masalah serius kerana dilaporkan 78 peratus daripada kecederaan yang dialami kanak-kanak di taman permainan disebabkan jatuh. Permukaan yang baik boleh membantu mengurang kejutan akibat jatuh tetapi sekiranya rosak ia boleh menyebabkan seorang kanak-kanak itu tersadung dan cedera,” tambah beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: