Pertemuan dengan pemimpin kanan China bantu kukuh hubungan diplomatik

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan bersama Pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China (CPC) Song Tao bagi membincangkan program-program untuk merapatkan hubungan parti politik antara Pakatan Harapan dan CPC hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A

BEIJING - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan hasil pertemuan beliau bersama tiga pemimpin kanan China hari ini sebagai usaha bersama kedua-dua kerajaan untuk mengukuh hubungan dua hala Malaysia-China ke tahap yang lebih tinggi dan strategik.

Dr Wan Azizah, yang kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China, bermula Isnin berkata, kunjungan beliau ke republik itu juga sebagai satu daripada program bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Timbalan Perdana Menteri telah memulakan hari kedua lawatan dengan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Wang Qishan; disusuli Mesyuarat Dua Hala bersama rakan sejawatan Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan dan pertemuan dengan Penasihat Negara, Wang Yong, yang juga bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana di China.

Pelbagai perkara telah dibincangkan semasa ketiga-tiga pertemuan itu, merangkumi aspek hubungan dan kerjasama dua hala serta isu lain yang mempunyai kepentingan bersama.

"Secara ringkasnya, kedua-dua pihak berpuas hati dengan status hubungan dua hala yang sedia erat dan mengulangi komitmen untuk sama-sama memperluas dan memperkukuhkan lagi hubungan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika perbincangan bersama Wang Qishan, Malaysia telah mengulangi sokongan dan kesediaan untuk bekerjasama dengan China untuk melaksana Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

"Malaysia percaya inisiatif BRI yang telus, inklusif dan adil boleh mengukuhkan lagi kesinambungan, meningkatkan perdagangan dan memberi lebih banyak peluang ekonomi serantau," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, ketika perbincangan itu juga beliau telah menyuarakan cadangan kepada Wang agar kedua-dua negara mempererat kerjasama dalam bidang tadbir urus yang baik dan anti-rasuah, selari dengan fokus utama kerajaan Malaysia dan China.

Bagi hasil pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Naib Perdana Menteri, Sun Chunlan pula Dr Wan Azizah berkata, perbincangan mereka tertumpu kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, isu-isu pembangunan wanita, masyarakat dan sosial, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, pertanian dan industri asas tani.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau menggalakkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan China yang berkualiti ke Malaysia dan pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua negara di bawah rangka BRI seperti ekonomi digital, Artificial Intelligence (AI) dan automobil.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, Malaysia juga ingin mempelajari kejayaan dan pengalaman China dalam membentuk program memperkasa wanita, cabaran dalam “ageing society” (penuaan masyarakat) dan program pembangunan bagi kanak-kanak istimewa.

"Kami telah bertukar pandangan berkaitan amalan terbaik bagi dasar-dasar yang dapat membantu golongan warga emas dan penduduk yang semakin menua dan usaha yang boleh dilaksana bagi menggalakkan lebih ramai golongan wanita menyertai pasaran tenaga kerja," katanya. - Bernama