PGSM mahu RUU Profesion Guaman Syarie diterima Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie mendapat persetujuan daripada semua pihak daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, RUU tersebut tidak akan menjejaskan mana-mana pihak, sebaliknya akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Jelas beliau, RUU Guaman Syarie tersebut bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme peguam syarie di negara ini, malah dapat membantu menyelesaikan masalah ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang di antara negeri.

Selain itu, ia juga dapat mengelakkan kemudaratan kepada masyarakat yang timbul akibat daripada ketidakselarasan tersebut.

"PGSM yang terlibat daripada awal dalam usaha menggesa pihak kerajaan untuk menggubal undang-undang berkenaan mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada menteri dan pihak kerajaan Pakatan Harapan kerana telah berjaya merealisasikan penggubalan RUU ini.

"PGSM berharap RUU Guaman Syarie ini tidak mendapat halangan, bangkangan atau tentangan daripada mana-mana Ahli Parlimen samada daripada blok Kerajaan atau Pembangkang, dan dapat diluluskan dengan jayanya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Musa berkata, sebelum ini, Peguam Syarie hanya dikawal selia melalui Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri yang mempunyai peruntukan berhubung kelayakan, penerimaan masuk, tindakan disiplin dan tatatertib yang berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

"Perbincangan untuk menggubal undang-undang tersebut mengambil masa yang lama iaitu sejak tahun 1984 dan telah bertukar-tukar daripada satu menteri ke satu menteri dan daripada satu Perdana Menteri ke Perdana Menteri lain. Akhirnya, ia berjaya direalisasikan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan RUU tersebut sudah dilihat daripada pelbagai aspek dan mengambil kira pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan kehakiman Syarie Malaysia dan PGSM.

"Oleh itu, RUU Guaman Syarie ini tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Negeri dan Persekutuan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun RUU Guaman Syarie yang akan dibentangkan ini hanya berkuat kuasa di dalam Wilayah Persekutuan sahaja, ia bakal menjadi model undang-undang untuk dijadikan panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie ke negeri-negeri lain.

"Seterusnya untuk menggubal Enakmen Peguam Syarie negeri-negeri melalui Dewan Undangan Negeri, masing-masing," katanya.