Peniaga didakwa tipu urusan pembelian rumah, tanah

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap tiga pertuduhan menipu urusan pembelian rumah dan tanah membabitkan kerugian RM21,417, sejak 2014 lalu.

Tertuduh, Md Zulhadi Ramsi, 44, membuat pengakuan tersebut, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya tiga lelaki dalam urusan pembelian rumah di Melaka dan tanah di Jempol serta Gemencheh sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM21,417.

Perbuatan itu dilakukan di tiga lokasi berasingan iaitu di sebuah bank di Seremban 2, sebuah rumah di Taman Paroi Jaya dan Taman Tuanku Jaafar, Senawang pada Mei 2014, 19 Januari 2018 serta 25 Jun 2018.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh diwakili peguam, Noliana Ali Othman.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM28,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: