60 PKS terpilih jalani program RA: Kian Ming

Ong Kian Ming
Ong Kian Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpilih untuk menjalani program Penilaian Kesediaan (RA) bagi penghijrahan ke platform Industri 4.0.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming memberitahu Dewan Rakyat bahawa 60 PKS berkenaan dipilih daripada 475 permohonan oleh PKS di seluruh negara setakat 3 Julai lepas, dan telah menjalani proses saringan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu RA bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pemilihan yang dibuat.

“Pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi memastikan aspirasi untuk menggalakkan peralihan industri kepada Indsutri 4.0 dapat dicapai,” katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai hasil program RA setakat ini.

Menjawab soalan tambahan Poay Tiong mengenai kurangnya sambutan terhadap RA, Kian Ming berkata perkara berkenaan berpunca daripada kurangnya kesedaran tentang manfaat yang diterima daripada program berkenaan.

“Kementerian telah menyediakan satu dana yang dipanggil ‘pembiayaan intervensi perniagaan’ yang membolehkan syarikat yang memohon dan mellaui proses RA, layak memohon dana ini secara ‘geran padanan’ iaitu 70 peratus akan dibiayai oleh kementerian manakala 30 peratus akan dibiayai oleh syarikat yang memohon,” katanya.

Katanya geran dengan had maksimum RM500,000 bagi setiap permohonan itu bertujuan untuk membantu PKS membuat pelaburan yang sepatutnya untuk beralih kepada Industri 4.0.

RA dilancarkan pada Januari tahun ini bagi mengenal pasti PKS yang bersedia untuk beralih kepada Industri 4.0.- Bernama

Artikel Berkaitan: