Tiga sekawan maut: Keluarga tak tahu mereka keluar rumah

Jenazah salah seorang mangsa yang dibawa keluar dari bilik mayat HTM selepas selesai urusan bedah siasat.
Jenazah salah seorang mangsa yang dibawa keluar dari bilik mayat HTM selepas selesai urusan bedah siasat.
A
A
A

TANAH MERAH - Kemalangan maut di Bukit Mas-Bukit Panau melibatkan tiga sekawan ketika menunggang motosikal yang berlanggar sesama sendiri benar-benar mengejutkan ahli keluarga mereka.

Keluarga ketiga-tiga mangsa, Muhammad Danial Adam Che Hasim,17, Abdul Rahman Abdullah, 16, dan Muhammad Nasrun Al Hakim Norl, 14, ditemui ketika berada di unit forensik Hospital Tanah Merah (HTM) tidak menyangka akan kehilangan insan yang disayangi dalam sekelip mata.

Afendi Kamariah,54, iaitu ayah salah seorang mangsa hanya mengetahui anaknya keluar untuk mengisi minyak motosikal miliknya untuk ke sekolah pagi ini.

Katanya, anaknya, Abdul Rahman, 16, tidak menunjukkan sebarang kelainan dan perubahan tingkah laku sebelum keluar rumah.

"Dia anak yang baik dan mendengar kata.

"Memang sedih apabila anak sendiri pergi sekelip mata, namun saya terima dengan reda walaupun masih terkejut dengan kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Che Mohd Faizal Che Hashim, 31, abang kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Danial Adam berkata, kejadian itu benar-benar mengejutkan keluarganya.

"Ada orang beritahu adik saya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sempat tengok dia di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Che Mohd Faizal berkata, adiknya merupakan anak ketujuh dari sembilan beradik dan rapat dengan keluarga.

"Dua tiga hari sebelum kejadian, adik agak pelik sikit, tak banyak bercakap.

"Tapi, kami tak ada pula menyangka itu petanda dia akan meninggalkan keluarganya," katanya.

Jenazah Muhammad Danial Adam Che Hasim, 17, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mas, Abdul Rahman Abdullah, 16 di Tanah Perkuburan Islam Alor Pasir manakala Muhammad Nasrun Al Hakim Norl, 14, di Tanah Perkuburan Bukit Gading.