Lebih RM79 juta BHN diagih kepada veteran ATM

Mohamad Sabu - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM79.68 juta untuk diagihkan secara 'one-off' kepada 159,368 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen menerusi Bantuan Harapan Negara (BHN), dengan kadar pemberian sebanyak RM500 seorang.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata permohonan bagi BHN dibuka mulai 14 April lepas dan pembayaran pertama dilaksanakan pada 27 Mei lalu kepada 95,110 veteran ATM oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu lebih bersasar dengan penerimanya merupakan veteran ATM dalam kategori kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

"Pemberian ini merupakan sebagai penghargaan kerajaan kepada veteran ATM di atas kesetiaan dan pengorbanan mereka kepada negara serta bertujuan menjaga kebajikan semua golongan veteran ATM,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai langkah meningkatkan kebajikan bekas perajurit yang tidak berpencen.

Mohamad berkata kerajaan meluluskan pemberian inisiatif BHN 2019 bagi menggantikan Bantuan Bakti Negara (BBN) 2017 dan sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) 2013.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus membuat penambahbaikan skim kebajikan bagi veteran ATM namun ia perlu berdasarkan kepada kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakannya.

Ia termasuk cadangan pemberian peruntukan kepada anggota dan bekas anggota ATM yang dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

"Kementerian telah menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan peruntukan kepada mereka yang telah berjasa agar diberi penghargaan,” katanya menjawab soalan tambahan M. Karupaiya (PH-Padang Serai) mengenai imbuhan bagi penerima PJM.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa syarikat-syarikat besar yang mendapat keuntungan hasil keamanan dinikmati negara supaya menyumbang kepada tabung ATM sebagai penghargaan ke atas pengorbanan golongan perajurit. - Bernama