SPRM henti amalan bawa suspek ke mahkamah pakai baju lokap oren

Latheefa -Foto Sinar Harian
Latheefa -Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan amalan membawa membawa suspek ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren dihentikan serta merta.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, ini sejajar dengan anggapan tidak bersalah (presumption of innocence) serta Fasal 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara SPRM tidak akan berkompromi sama sekali dalam pembanterasan rasuah, dalam berbuat demikian, kami pada setiap masa akan mendukung kedaulatan undang-undang (rule of law),” katanya melalui kenyataan hari ini.

Latheefa juga mengumumkan gari tangan hanya akan digunakan terhadap suspek jika perlu mengikut situasi yang tidak dapat dielakkan.

“Misalnya jika terdapat risiko terlepas lari, atau kelakuan agresif. Bagaimanapun, penggunaan gari adalah tidak dibenarkan dalam ruang bilik mahkamah,” katanya.

Pada 2017, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempertahankan langkah untuk suspek berbaju lokap oren ketika dibawa ke mahkamah.

Antara yang membuat bantahan itu adalah peguam hak asasi, N Surendran yang menyifatkan langkah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan peraturan penjara.

Antara suspek berprofil tinggi yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju oren adalah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Artikel Berkaitan: