Rayuan Tommy ditolak, bicara 1MDB tetap bermula 19 Ogos

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebaliknya memutuskan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini bermula pada 19 Ogos depan, diteruskan.

Pada prosiding tersebut, Peguam Negara, Tommy Thomas memaklumkan mahkamah, perbicaraan kes Najib membabitkan SRC International Sdn Bhd yang berlangsung ketika ini tidak dapat diselesaikan sebelum 15 Ogos ini.

Menurut Tommy pihaknya telah memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan SRC International, bahawa kes itu mungkin tidak selesai sehingga 15 Ogos.

Tarikh tersebut sebelum ini dijangka sebagai tarikh untuk keputusan kes SRC International.

Ini merupakan kali ketiga pihak pendakwaan meminta Collin menangguhkan tarikh pendengaran untuk memberi laluan kepada perbicaraan terhadap Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan kerana penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes 1MDB pada 19 dan 29 Ogos ini, sepanjang bulan September dan Oktober kecuali hari Jumaat dan dua minggu pertama November ini.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 tuduhan pengubahan wang wang membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, cawangan Jalan Raja Chulan, di sini, antara 2011 dan 2014.

Najib turut menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.