Impian ke Itali lebur, wang RM28,510 lesap ditipu rakan

 Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang juruteknik yang mahu bercuti di Rome, Itali tidak kesampaian apabila diperdaya rakan dalam urusan pembelian tiket penerbangan tidak wujud, dua minggu lalu.

Mangsa berusia 40 tahun kerugian kira-kira RM28,510, selepas menempah tiga tiket kapal terbang ke negara itu dengan wanita yang dikenali sejak tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 27 jun lalu, mangsa berurusan dengan wanita itu bagi tujuan menempah tiket penerbangan ke Rome, Itali.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk bercuti ke negara terbabit, mangsa dikatakan telah berbincang dengan suspek bagi trip pelancongan lain sebelum ini.

“Selepas berbincang dengan suspek mengenai percutian ke Itali itu, mangsa memindahkan wang berjumlah RM28,510 bagi menempah tiga tiket kelas perniagaan dari Kuala Lumpur ke Rome dan balik semula ke Kuala Lumpur.

“Selepas memindahkan wang, mangsa mendapat maklum balas suspek. Suspek memaklumkan tempahan telah dibuat dan akan menghantar dokumen tempahan kepada mangsa melalui email dan juga aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, isteri mangsa kemudian membuat semakan dengan pihak Emirates bagi mengesahkan penerbangan tersebut, namun mendapati tempahan tiket berkenaan tidak wujud.

“Mangsa sekali lagi mendapatkan maklum balas itu, namun suspek tetap menyatakan tempahan itu telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan setelah merasakan dirinya ditipu,” katanya.

Dalam pada itu,Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek ialah dengan menawarkan urusan pembelian tiket penerbangan yang tidak wujud sehingga mendorong pengadu memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan olehnya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah merakam percakapan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.