'Umno dan Pas' adik-beradik

Mohd Nor bersama adiknya, Roszifahti yang digelar Pah atau Pas.
Mohd Nor bersama adiknya, Roszifahti yang digelar Pah atau Pas.
A
A
A

INI bukan cerita penyatuan dua parti politik tetapi gelaran nama UMNO dan Pas yang menjadi panggilan kepada dua adik-beradik dari Kampung Pak Katak, Kuala Nerus di sini.

Sekitar tahun 1984, tidak ramai yang mengenali nama Mohd Umno Abd Ghani, 42, yang ketika itu berusia tujuh tahun dan mula memasuki darjah satu.

Namun, tidak bagi guru kelas Mohd Umno di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal yang sudah pasti membaca namanya yang tertera pada buku rekod kedatangan murid.

“Mohd Umno? Betul ke nama Mohd Umno? Itu soalan guru yang seakan tidak percaya. Saya hanya anggukkan kepala.

“Masa umur tujuh tahun saya tak tahu apa-apa pun mengenai nama saya, yang saya tahu orang panggil saya Umno atau Meno.

“Saya pun tak tahu UMNO itu adalah nama sebuah pertubuhan parti politik yang berkuasa memerintah negara,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya kisah bagaimana nama tersebut diberikan, Mohd Umno yang kini telah menukar nama kepada Mohd Nor tidak lokek bercerita.

Kenangan

Artikel Berkaitan:

Mohd Nor berkata, nama tersebut diberikan bapa saudaranya, Said Hassan yang kini telah meninggal dunia.

“Dengar cerita pok (bapa) saudara yang beri nama ini ketika mendaftar surat beranak.

“Mungkin sebab orang dulu-dulu beri nama untuk tinggalkan kenangan atau sebab berkaitan dengan semangat dan sokongan terhadap parti UMNO,” katanya yang lahir pada 1977.

Bagaimanapun, Mohd Nor berkata, nama Mohd Umno telah ditukar kepada Mohd Nor sekitar 1990 ketika dia berusia 12 tahun.

Menurutnya, proses penukaran nama itu berjalan lancar tanpa menerima banyak persoalan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Masa tu saya darjah enam. Emak (Gayah Husin) dan ayah (Abd Ghani Abd Rahman) ambil keputusan untuk tukarkan nama saya kepada Mohd Nor.

“Mungkin sebab tak mahu saya rasa malu apabila besar nanti dan mahu memudahkan urusan saya,” katanya.

Mohd Nor menunjukkan nama asalnya sebelum ditukar.
Mohd Nor menunjukkan nama asalnya sebelum ditukar.

Mohd Nor berkata, tidak ramai yang tahu mengenai nama asalnya itu termasuk dalam kalangan rakan rapat.

“Ramai yang tidak tahu kisah ini. Setelah menukar nama kepada Mohd Nor sehingga kini dah umur 42 tahun, saya dikenali dengan gelaran abang Mad Nor.

“Tetapi ada juga suara-suara nakal yang tahu cerita dan masih menggelar saya abang Umno atau Meno,” katanya sambil ketawa.

Nama unik

Ditanya perasaannya sekiranya menyertai mana-mana program melibatkan parti politik, beliau berkata, perasaannya sebenarnya bercampur baur.

“Sebelum ini kalau pergi program-program dianjurkan UMNO saya rasa bangga tetapi kalau pergi program Pas rasa serba salah pula sebab khuatir orang kata kuat UMNO.

“Tetapi sebenarnya saya tak kisah pun sebab saya bergaul dengan semua, tak kira Pas atau UMNO,” katanya.

Dikurniakan lapan cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Faridah Md Amin, 38, Mohd Nor mengakui dia tidak memberikan nama-nama unik kepada anak-anaknya.

“Semua anak saya diberikan nama biasa, sama seperti orang lain,” katanya.

Adik Pas

Bercerita lanjut, Mohd Nor yang merupakan anak kelapan daripada 11 adik-beradik berkata, dia mempunyai seorang adik yang digelar Pas.

“Nama sebenar adik saya Roszifahti, 38, tetapi orang dulu-dulu nak panggil cepat nama Fah jadi Pas.

“Mungkin nak samakan nama dengan saya Umno, jadi adik saya tu digelar Pas. Sehingga kini ada lagi yang panggil Pas atau Pah,” katanya.

Menurutnya, nama adik-beradiknya yang lain mempunyai persamaan pada huruf hadapan seperti Rakma, Rohana, Ambak, Amran, Rozita, Anuar, Rosliza, Roziha dan Rohayu.

Namun dia istimewa kerana pangkal huruf namanya berbeza dan dua patah perkataan.

“Seronok juga nama lain daripada yang lain sebab orang mudah ingat,” katanya.