Masuk Sarawak bukan untuk pecah belah masyarakat Pribumi

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof (kiri) pada sidang media berhubung status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof (kiri) pada sidang media berhubung status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUCHING - Kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sarawak adalah untuk membolehkan masyarakat Pribumi di negeri ini menyuarakan hasrat mereka dalam satu platform dengan kerjasama parti Pakatan Harapan (PH) yang sedia ada.

Ketua Penyelaras Bersatu Sarawak, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata, Bersatu tidak melihat kemasukan parti berkenaan sebagai bertujuan memecah belah rakyat dalam landskap politik Sarawak.

"Tujuan kita (Bersatu) satu sahaja, iaitu untuk membuat perubahan yang kita telah lihat hari ini di peringkat Persekutuan dan perjuangan kita adalah semata mata untuk kepentingan rakyat Sarawak dan kita tidak kacau pun parti-parti lain.

"Kalau sesiapa yang menyatakan kita datang ke Sarawak untuk memecahbelahkan rakyatnya, kita nak minta bukti... Sarawak adalah negeri yang diberi rezeki yang lebih tetapi kita tidak nampak kekayaan ini dikongsikan dengan rakyat jelata,” kata Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan pada sidang media di sini hari ini.

Pendaftaran Bersatu Sarawak diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Mei lepas setelah dilancarkan oleh Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bintulu pada 1 Disember tahun lepas.

Terdahulu, Mohd Redzuan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian Bersatu Sarawak bagi memperkasakan pergerakan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 yang bakal diadakan seawal hujung tahun depan.

Beliau berkata, setakat ini pendaftaran 12 daripada 31 bahagian Bersatu Sarawak telah diberi kelulusan ROS, termasuk bahagian Kuching, Santubong, Stampin, Kota Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Ulu Rajang, Julau, Sibuti dan Mukah.

Bagaimanapun, katanya barisan kepimpinan negeri yang telah dicalonkan sebagai ketua bahagian akan diwatikahkan dalam masa terdekat selepas satu keputusan dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pusat pada 20 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

“Nampak ada muka baharu, ciri-ciri kepimpinan serta pengalaman dan kita akan memastikan mereka dicalonkan dan dipilih,” katanya sambil menambah bahawa struktur parti di Sarawak akan disusun dengan lebih mantap.

Mohd Redzuan, yang merupakan ahli Majlis PimpinanTertinggi Bersatu, turut berkata kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa Bersatu harus konsisten dengan keputusannya berhubung pengambilan ahli daripada UMNO adalah sebagai hanya menyuarakan pandangan beliau.

“DAP tidak campur tangan. Kita (Bersatu) ada pendirian sendiri dan mempunyai moratorium tertentu untuk memastikan perkara itu tetapi kelulusan menjadi ahli adalah terpulang kepada majlis pimpinan tertinggi,” katanya. - Bernama