Anak angkat perempuan, Umie Aida anggap rezeki tidak ternilai

Umie Aida
A
A

PELAKON Datin Seri Umie Aida berkongsi berita gembira tentang kehadiran seorang bayi perempuan comel yang kini menjadi anak angkatnya.

Menerusi laman Instagramnya semalam, bintang filem Dukun itu telah berkongsi foto pertama bayi tersebut difahamkan baru berusia 12 hari.

“Penawar hatiku.. anugerah dan amanah yang dipertanggungjawabkan. Alhamdulilah.. ku terima amanah ini dan akan menjaganya sebaik mungkin. Insya’allah,” tulis Umie yang belum memilih nama untuk anak angkatnya itu.

Menerusi laporan sebuah akhbar, Umie mengakui pada awalnya tidak mempunyai perancangan untuk mengambil anak angkat, namun menyifatkan ia sebagai rezeki apabila bayi tersebut belum mendapat keluarga angkat lain.

“Pada awalnya saya ‘forward’ mesej kepada semua rakan dan bertanya jika mereka inginkan anak angkat ketika bayi itu baru dilahirkan 12 hari lalu. Memandangkan tidak ada maklum balas, saya buat tak tahu saja. Saya berfikir mungkin mereka akan menghubungi ibu bayi ini sendiri.

“Namun, pada sebelah tengah hari saya tergerak hati bertanya semula kepada ibu bayi ini sama ada sudah ada yang berminat atau belum. Apabila diberitahu tidak ada siapa yang memberi maklum balas, saya terus berkata saya nak,” katanya sebagaimana dilaporkan.

Dalam pada itu kata Umie, keputusannya untuk mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat juga dipersetujui suaminya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Biarpun sibuk dengan penggambaran siri terbaharu drama Mak Cun, Umie tidak mahu meningggalkan anak angkatnya itu di bawah jagaan orang lain dan turut membawanya ke lokasi agar dia dapat sentiasa bersama bayinya itu.

Sebelum ini, Umie sudah memiliki dua anak angkat lelaki iaitu Mohd Daniel Firdaus, 26, dan Mohd Dzulhelmy, 25, yang berada di bawah jagaannya semenjak kedua-duanya masih kecil.

Umie mendirikan rumah tangga bersama suami pada Mac 2010 dan tidak dikurniakan cahaya mata.