Pembahagian jawatan Exco ditentukan jawatankuasa perundingan

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembahagian jawatan Exco di negeri yang ditadbir oleh Pas dan UMNO merupakan intipati perbincangan menerusi jawatankuasa perundingan kedua-dua parti dalam pembentukan Piagam Muafakat Nasional UMNO-Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, piagam atau perjanjian persefahaman itu akan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak dan dirangka oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti.

“Itu (pembahagian jawatan Exco) akan diputuskan dalam perundingan kita nanti, dalam piagam inilah kita akan tentukan.

“Sudah tentulah bila ada persefahaman, kita adalah perkongsian. Cara macam mana tu, jawatan apa akan kita muktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Perunding Pas-UMNO dan Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti pada malam Rabu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail supaya empat kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pas membuktikan kerjasama dan penyatuan dua parti itu dengan menzahirkannya dalam bentuk agihan kerusi EXCO dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Literasi Kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai piagam berkenaan, beliau berkata, piagam itu agak menyeluruh, namun tidaklah begitu terperinci kerana ia hanya sebagai garis panduan sahaja.

“Ia seperti draf piagam, macam piagam pelanggan tapi lebih menyeluruh dan komprehensif untuk mengimbangi antara kedua-dua pihak sebab kita bekerjasama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Takiyuddin, perincian dalam piagam itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat Rabu ini oleh Jawatankuasa Perunding Pas-UMNO yang dianggotai 11 orang daripada setiap parti, diketuai Timbalan Presiden UMNO dan Pas, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Piagam Muafakat Nasional UMNO-Pas dijangka ditandatangani Presiden UMNO dan Pas iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada bulan depan.