Undi 18 tahun: UMNO, Pas tolak jika tak ikut syarat

Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO Perak hari ini.
Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - UMNO, Pas serta Ahli Parlimen dalam parti gabungannya akan menolak pindaan perlembagaan yang menetapkan usia mengundi pada 18 tahun jika cadangan mereka yang menetapkan pendaftaran perlu dilakukan secara automatik, tidak diterima.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi pindaan perlembagaan itu memerlukan sokongan dua per tiga majoriti undi dalam Dewan Rakyat yang mana undian ahli-ahli BN, Pas dan Gabungan Parti Sarawak adalah amat diperlukan.

“Minggu hadapan akan ada perbahasan di Parlimen untuk pengundian bagi meminda perlembagaan ini, bermakna tidak kurang daripada 148 daripada 222 Ahli Parlimen harus bersetuju barulah pindaan diluluskan.

“Pendirian kita jelas bahawa pemilih bagi usia 18 tahun ini hendaklah didaftarkan secara automatik dan mereka boleh jadi calon dalam pilihan raya, sekiranya tidak... kita akan tolak,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tambun di Bangunan UMNO Perak hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengundi 18: Pembangkang akan sokong tetapi bersyarat

Beliau berkata, pihaknya hanya akan menyokong pindaan itu berdasarkan syarat seperti dicadangkan sebelum ini.

Dengan ketetapan itu katanya, mereka yang berusia 21 tahun (mengikut perlembagaan terdahulu) dan kini 18 tahun tidak lagi perlu mendaftar di mana-mana tempat yang digazetkan untuk mendaftar.

“Di kebanyakan negara seperti di Indonesia, kelayakan mengundi dibolehkan kepada rakyatnya yang berusia 17 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Dulu kita tetapkan 21 tahun kerana diukur berdasarkan kematangan, tetapi melalui sistem pendidikan dan sosial yang ada sekarang, 18 tahun sudah dikira matang,” katanya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan usul meminda Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu usaha bagi mengutamakan golongan muda yang bakal mencorakkan masa depan Malaysia.

Sekiranya diluluskan, had usia mengundi 18 tahun akan dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.