Miliki dua keping kad atm orang lain

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Seorang wanita berusia 53 tahun ditahan polis kerana terlibat dalam kes pengeluaran wang tanpa pengetahuan pemilik akaun.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, wanita berkenaan ditahan di sebuah rumah di sini kira-kira jam 4 petang, semalam

Katanya, dalam tangkapan itu pihaknya turut merampas dua keping kad atm Bank Rakyat dipercayai milik kedua-dua mangsa.

"Mangsa sebelum ini telah membuat dua laporan polis pada 20 dan 25 Jun lalu setelah menyedari wang mereka berkurangan.

"Hasil siasatan mendapati suspek mengeluarkan wang kedua-dua mangsa secara berperingkat sejak awal 2018 hingga pertengahan tahun ini.

"Mangsa pertama iaitu seorang warga emas berusia 80 tahun mengalami kerugiaan sebanyak RM40,000.

"Manakala mangsa kedua yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran berusia 43 tahun mengalami kerugian sebanyak RM38,500," katanya melalui suatu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, warga emas berkenaan merupakan ibu saudara kepada suami suspek manakala mangsa OKU adalah anak saudara kepada suami suspek.

Artikel Berkaitan:

"Suspek tidak bekerja dan merupakan suri rumah sepenuh masa manakala suaminya bekerja sebagai tukang rumah.

"Mangsa sebelum ini pernah meminta tolong suspek mengeluarkan wang dan bermula dari itu, suspek telah mengambil kesempatan mengeluarkan wang mangsa tanpa pengetahuan mereka," katanya.

Noor Mushar berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman tidak lebih 10 tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali.