RUU Akta 668: Exco Belia Kelantan tak setuju

Mohd Ruzaini Maimun
Mohd Ruzaini Maimun
A
A
A

KUALA KRAI - Exco Belia Kelantan tidak bersetuju had umur belia negara ini diturunkan daripada 40 kepada had maksimum 30 tahun dilaksanakan dalam masa terdekat.

Mohd Ruzaini Maimun berkata, sepatutnya penurunan had umur memerlukan tempoh peralihan bagi mengelak pertubuhan sedia ada lumpuh.

"Tindakan ini agak terburu-buru, memandangkan sejarah kepimpinan belia diterajui golongan berumur yang mantap dari segala hal untuk mengendalikan sebuah organisasi termasuk kewangan.

"Golongan berumur 30 tahun masih terlalu muda, tanpa pengalaman, tambahan dalam usia sebegini mereka dalam usaha mengutip ilmu dan agak sukar mengetuai sebuah organisasi serta dikhuatiri boleh menyebabkan pertubuhan belia sedia ada tidak lagi segah dahulu," katanya yang hampir 20 tahun terlibat dengan pertubuhan belia luar bandar.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Kawasan Kuala Krai berkata, sepatutnya penurunan had umur dibuat secara berperingkat setelah kajian menyeluruh tentang kelangsungan pertubuhan belia dilakukan.

"Sebelum ini akta Pembangunan Belia 2007 telah diluluskan oleh Parlimen yang mengehadkan umur ahli belia dan pemimpin tidak lebih daripada 40 tahun dan ia disambut baik ketika itu.

"Tetapi kesannya banyak pertubuhan belia yang terkubur dan kurang aktif," katanya.

Beliau berkata, dengan takrif umur belia bawah 40 tahun telah membuktikan pertubuhan belia sedia ada kurang berfungsi apatah lagi jika had umur 30 tahun dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Kerap kali Menteri Belia dan Sukan membandingkan takrif umur belia negara ini dengan negara maju yang saya lihat kurang rasional memandangkan pendapatan perkapita mereka jauh lebih tinggi, lagipun mereka tidak aktif dalam persatuan atau pertubuhan belia," katanya.

Mohd Ruzaini berkata, sepatutnya kepimpinan belia dipanggil untuk membincangkan hala tuju pertubuhan dengan lebih jelas supaya ia bakal menjadi payung kepada golongan muda sebelum merancang segala pindaan undang-undang.

Rabu lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Akta 668 Pindaan 2019 di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 dibentang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Susulan itu ia mendapat pelbagai reaksi pertubuhan belia sedia ada yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan penurunan umur berkenaan.