Tiga premis curi air diserbu

Kakitangan Sains menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap premis yang disyaki mencuri air.
Kakitangan Sains menjalankan pemeriksaan dan siasatan terhadap premis yang disyaki mencuri air.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga premis diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Selasa lalu, kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah nurseri di daerah ini jam 10.30 pagi dan mendapati premis membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyehtlne (HDPE) bersaiz 25mm.

“Premis itu telah membuat penyambungan paip secara terus tanpa melalui sebarang meter air digunakan untuk kegunaan harian nurseri dan pekerja di situ.

“Siasatan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah selepas pemotongan bekalan air akibat tunggakan,” katanya.

Norzita berkata, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah restoran di Senawang yang mana penghuni telah buat penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride(UPVC) bersaiz 15mm bagi kegunaan restoran dan harian pekerjanya.

Menurutnya, serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah asrama pekerja di sebuah restoran di bandar ini apabila penghuninya didapati membuat penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis UPVC bersaiz 20mm bagi kegunaan harian pekerja di situ.

“Pegawai penguatkuasa Sains telah menjalankan ujian klorin bagi semua lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

“Sebagai tindakan, Span telah menyita semua pemasangan yang dibuat sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada para penghuni premis berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Norzita berkata, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang mana sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau keduanya sekali.

Sementara itu katanya, syarikat itu terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di negeri ini tanpa mengira kes melibatkan pengguna komersil atau domestik.

“Tindakan tegas ini merupakan satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982,” katanya.