UMNO-Pas meterai piagam, MoU bulan depan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO dan Pas dijangka akan menandatangani piagam dan dokumen perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan lagi ‘taawun siyasi’ antara kedua-dua parti itu bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu jawatankuasa induk yang dianggotai wakil kedua-dua parti tersebut akan memuktamadkan draf serta dokumen MoU itu pada 10 Julai ini, namun tarikh sebenar majlis MoU itu belum dibuat.

Menurutnya, buat masa ini, jawatankuasa induk sedang menyiapkan draf berhubung perkara itu dan ia telah mencapai peringkat akhir.

“Jawatankuasa induk ini dianggotai tujuh wakil daripada UMNO dan tujuh daripada Pas yang akan diketuai timbalan presiden parti masing-masing.

“Selepas itu, draf ini akan diserahkan kepada kedua-dua presiden yang kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk pelancaran, yang dijangka awal Ogos,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Jelas Annuar, pihaknya menjangkakan majlis pelancaran itu akan dibuat bersempena program penyatuan ummah yang akan berlangsung bulan depan.

“Kita telah melantik Ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk duduk bersama Pas bagi merancang perhimpunan itu nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan: