Dua wanita ditahan bantu siasatan kes tipu pakej umrah

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu pakej umrah tidak wujud melibatkan 19 mangsa di negeri ini dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM41,000.

Suspek berusia 55 dan 65 tahun itu ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur Khamis lalu sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh semalam untuk perintah tahanan reman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kedua-dua suspek dari Kuala Lumpur itu dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes penipuan tersebut.

Menurutnya, susulan penahanan dua suspek itu, polis turut merampas kad bank milik mereka untuk siasatan lanjut.

“Penahanan dua suspek itu susulan laporan polis dibuat salah seorang mangsa berusia 62 tahun dari Temerloh 14 Mei lalu yang mendakwa kerugian RM2,200 selepas menerima tawaran pakej umrah yang ditawarkan sebuah syarikat melalui seorang wanita.

“Mangsa yang juga seorang peniaga ditawarkan peluang itu pada 21 November tahun lalu dengan kos RM7,500.

“Bagaimanapun mangsa hanya perlu membayar RM2,200 manakala RM5,000 lagi ditaja seorang penaja berpangkat datuk,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kerana tidak mahu terlepas peluang, mangsa membuat bayaran kira-kira seminggu selepas menerima tawaran melalui akaun bank atas nama sebuah syarikat dan dia bersama peserta lain dimaklumkan akan berlepas ke tanah suci pada 1 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun tarikh berlepas ditunda dan peserta boleh menarik diri namun wang mereka akan dikembalikan dalam masa tiga minggu.

“Bagaimanapun mangsa mendakwa tidak menerima kembali wang seperti dijanjikan sebaliknya hanya dokumen berkaitan yang diserahkan dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut terlibat dengan kes penipuan pakej umrah itu yang dilaporkan di negeri ini termasuk di Bentong, Cameron Highlands dan Jerantut.

“Kedua-dua suspek direman sehingga esok dan kita juga akan mendapatkan perintah reman baru terhadap suspek untuk siasatan kes di daerah Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands,” katanya.