X

Kindly register in order to view this article
!

Jurujual didakwa tipu, pecah amanah

Chong U Gene dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu.
A
A

IPOH - Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan membabitkan jumlah keseluruhan RM49,000, tahun lalu.

Chong U Gene, 46, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Syarikat Team Keris Berhad untuk memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaunnya bagi tujuan mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Kesalahan itu dilakukan di RHB Bank, Persiaran Greenhill Ipoh pada jam 4.44 petang, 27 Februari 2018 yang mana pihak syarikat tidak akan memasukkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, U Gene didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan kereta jenis Mercedes Benz milik Syarikat Keris Properties Sdn Bhd berjumlah RM40,000.

Wang berkenaan diterima daripada Sahidah Atan, 69, di TKB Tower, Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada 14 Mac 2018.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili Peguam Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon agar jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menjaga ayah yang sudah tua dan ibu yang sakit kanser selain menyara isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Julai ini bagi sebutan semula kes.