Penunjuk perasaan pertama didakwa di Hong Kong

Pekerja sedang membaik-pulih pintu kaca di bangunan Parlimen yang musnah akibat dipecahkan kumpulan penunjuk perasaan. - FOTO AFP
Pekerja sedang membaik-pulih pintu kaca di bangunan Parlimen yang musnah akibat dipecahkan kumpulan penunjuk perasaan. - FOTO AFP
A
A
A

HONG KONG - Seorang artis jalanan di Hong Kong hari ini didakwa menyerang anggota polis dan menyebabkan kerosakan di bawah pertuduhan pertama ke atas penunjuk perasaan antikerajaan selepas bandar raya itu dilanda siri protes luar biasa pada awal minggu lalu.

Pun Ho-chiu, 31, tampil di mahkamah atas penglibatannya melakukan sekatan di luar ibu pejabat polis pada 21 Jun lalu.

Ho-chiu yang dikenali sebagai 'Painter' juga didakwa berkelakuan tidak senonoh kerana membaling telur di luar ibu pejabat polis ketika protes berlarutan selama enam jam.

Jika disabit bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Difahamkan, penyiasat forensik berusaha mendapatkan cap jari dan bukti DNA di bangunan Parlimen yang mengalami kerosakan teruk yang diharap dapat membantu mereka menangkap lebih ramai penunjuk perasaan yang terlibat dalam kekecohan ketika ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China oleh British.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam menyuarakan hasrat untuk bertemu para penuntut universiti di bandar raya tersebut.

Menerusi kenyataan e-mel, jurucakap beliau memaklumkan, Lam mengundang golongan muda daripada pelbagai latar belakang berbeza untuk menyertai mesyuarat tertutup termasuk mereka yang terlibat dalam protes baru-baru ini.

Bagaimanapun, kesatuan pelajar di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) yang merupakan salah satu daripada lapan institusi pendidikan tinggi utama di bandar raya menolak tawaran itu.

Artikel Berkaitan:

"Sesi dialog itu perlu dibuka kepada semua penduduk dan memberikan hak kepada semua orang untuk bersuara," kata kesatuan itu dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Sementara itu, pemimpin Kesatuan Pelajar Universiti Hong Kong, Jordan Pang berkata, dia hanya akan bersetuju dengan tawaran itu jika kerajaan berjanji untuk tidak menyiasat penunjuk perasaan yang terlibat dalam demonstrasi antara 9 Jun dan 1 Julai lalu.

"Kami tidak faham kenapa beliau tidak beri respons kepada tuntutan kami. Adakah kerajaan jujur mahu berkomunikasi dengan kami atau hanya satu lagi pertunjukan politik," sindirnya.

Kumpulan penunjuk perasaan telah berulang kali menggesa pembatalan rang undang-undang ekstradisi kontroversi selain mendesak pengunduran Lam dan menuntut siasatan ke atas tindakan keras polis terhadap peserta protes. - Agensi