Melayu berpecah macam mana nak menang?

Dr Mahathir ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Bangsa Melayu dilihat terus berpecah dengan penubuhan parti Melayu baharu di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat melahirkan kebimbangan perpecahan itu akan terus berlaku sehingga mencecah 100 parti namun Melayu tidak akan pernah menang.

"Kita telah berpecah, kita jadi lemah. Bercerai roboh, bersatu teguh tapi kita dapati ada yang mahu buka parti baharu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: PM 'seronok' makin banyak parti Melayu

"Sudah jadi enam (parti). Tak lama lagi jadi 10 atau 100 parti. Satu parti ada 30 orang, nak menang macam mana?," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di sini hari ini.

Mengulas lanjut ketika ditanya soal hasratnya untuk mempelawa lebih ramai ahli UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir berkata, Melayu akan menjadi kuat sekiranya ramai.

"Ya (masuk Bersatu termasuk UMNO?) Masuk Bersatulah. Dulu saya suruh masuk UMNO tapi la ini masuk Bersatu lah.

"Kita ramai kita jadi kuat tapi jangan dok sekat orang lain nak masuk parti, biar pi dia masuklah," katanya.

Beliau juga tetap dengan pendirian tidak mahu parti komponen mencampuri urusan partinya termasuk melibatkan penyertaan ahli UMNO ke Bersatu.

"Itu (bantahan parti komponen PH) masalah dia (parti komponen) kita tak ada kaitan dengan parti-parti lain walaupun dalam PH. Mereka (komponen) pun dapat ahli baharu juga," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersatu sebelumnya sempat menyentuh soal perpecahan Melayu dan kesetiaan ahli kepada perjuangan parti ketika berucap di hadapan ahli parti yang menghadiri majlis itu.

"Kita perlu hati-hati jaga parti supaya parti kita akan kekal dengan perjuangan. Setia pada perjuangan parti bukan pemimpin kerana pemimpin mungkin berubah tapi perjuangan parti tetap sama.

"Parti ini ditubuhkan sebagai parti peribumi, Bumiputera jangan kita bertindak pecahbelahkan parti. Ini bukan perjuangan individu tapi bangsa," katanya yang disambut sorakan ahli parti yang hadir.

Beliau turut menyeru agar semua pihak melupakan sengketa demi pengukuhan bangsa.

"Nak kuatkan orang Melayu kena lupakan perselisihan antara kita. Hari ini oleh kerana Melayu berpecah maka kita sudah tak kuat seperti dulu," katanya.