31 pelajar masih loya, sesak nafas

Mohd Khuzzan Abu Bakar
Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A
A

PASIR GUDANG - Seramai 31 pelajar dikesan masih menunjukkan simptom gangguan kesihatan seperti loya dan sesak nafas di beberapa sekolah sekitar daerah ini, sejak semalam.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, daripada jumlah itu seramai 21 pelajar telah dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan saringan.

"Bagaimanapun, hanya seorang sahaja yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut semalam.

"Sehingga jam 12 tengah malam tadi, tiada pesakit baru dimasukkan ke dalam wad dan setakat ini keadaan masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pelajar yang terjejas berkenaan melibatkan 11 buah sekolah terdiri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, SK Senibong, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Pasir Putih, SK Pasir Gudang 4.

"Turut terjejas ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Jaya, SMK Dato Penggawa Timur, SMK Pasir Gudang 3 dan SMK Seri Kota Puteri.

Dalam pada itu, Mohd Khuzzan berkata, pemantauan berterusan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri termasuk mngambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 182 kilang setakat ini.

“Tindakan melibatkan kompaun buangan berjadual iaitu sebanyak 91 kompaun, 46 notis penambahbaikan sistem kendalian bahan kimia dan lapan premis dikenakan perintah tahan operasi.

Artikel Berkaitan:

“JAS juga sudah mengemukakan arahan untuk tindakan mahkamah terhadap dua kilang,” katanya.