Isu Pasir Gudang: Saran kementerian gubal pelan komprehensif

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim disarankan untuk menggubal satu pelan komprehensif bagi menjamin isu pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, Johor tidak berulang.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon berkata, penggubalan pelan itu amat penting untuk memastikan isu tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Walaupun lambat, kita harap tindakan segera oleh Yeo Bee Yin selaku Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Ini bukan untuk wayang, sebaliknya mestilah bersikap telus termasuk memberitahu sama ada 60,000 mangsa berkaitan berkeadaan sihat dan adakah tempoh inkubasi penyakit membahayakan?

"Kementeriannya mesti mengambil langkah segera untuk memastikan kejadian ini tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan.

Hang Soon berkata, jabatan-jabatan kerajaan juga disaran untuk menjaga keselamatan penduduk tempatan dan menyediakan peralatan kesihatan yang sesuai.

"Jangan hanya pegawai-pegawai sendiri yang berpakaian antivirus yang lengkap. Kami mahu pihak berkenaan mengeluarkan senarai nama pesakit yang dimasukkan ke wad hospital dalam kedua-dua insiden pencemaran di Pasir Gudang.

"Mereka perlu juga memberitahu apakah langkah keselamatan dan pembetulan seterusnya yang bakal diambil, bagi memastikan kesihatan mereka tidak bertambah buruk," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hang Soon berkata, pihaknya turut bersimpati dengan nasib yang menimpa seorang murid, Irwan Wafiy Idham Wazir, 12 yang menghidap Myokymia selepas menjadi salah seorang mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa toksik Pasir Gudang saman RM10 juta

Beliau berkata, laporan perubatan menunjukkan sistem sarafnya terjejas akibat serangan lapan jenis gas beracun dan hanya boleh sembuh bergantung kepada pengamatan lanjut.

Katanya, pihaknya berasa terkejut dan marah apabila kerajaan tidak memandang berat kesan buruk gas toksik terhadap kesihatan orang ramai.

"Irwan Wafiy Idham hanyalah seorang daripada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang lalu dan kini sudah empat bulan berlalu, namun kerajaan masih belum dapat mengesan punca sebenar pencemaran. Pencemaran kali ini pula, dikhuatiri lebih 6,000 orang pelajar dan penduduk terkesan.

"Ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya, sama ada kerajaan kurang berkesan atau cuba menyembunyikan sesuatu? Siapakah yang mampu menegakkan keadilan untuk Irwan Wafiy Idham?," katanya.