Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen panggil Latheefa Koya

William Leong Jee Keen pada sidang media selepas selesai mesyuarat bersama Latheefa dan ahli-ahli jawatankuasa. Foto: Sinar Harian/Rosli Talib
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya bagi memperjelaskan isu lantikan beliau.

Pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu bermula jam 2.30 petang, di bangunan Parlimen di sini.

Pengerusi PSC Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong Jee Keen berkata, pihaknya telah menanyakan mengenai isu pelantikan Latheefa pada 1 Jun lalu dan berpuas hati dengan penerangan beliau.

“Proses pelantikan mengikut undang-undang adalah jelas Seksyen 5 Akta SPRM iaitu kuasa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas pertemuan tersebut.

Pertemuan itu turut dihadiri anggota jawatankuasa lain antaranya Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Sementara itu, Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty berkata, beliau berpuas hati dengan soalan yang diajukan.

"Saya telah ditanya beberapa soalan dan berbincang beberapa isu ditimbulkan. Saya gembira memberi kerjasama dan menjelaskan apa-apa isu yang timbul berkaitan SPRM," katanya.