Pecah kedai: Ahli Geng Pait Cina ditahan

Adzli (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai serta peti besi dan barangan rampasan lain.
Adzli (dua dari kiri) menunjukkan wang tunai serta peti besi dan barangan rampasan lain.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dipercayai ketua Geng Pait Cina ditahan bersama rakan dan bapa saudaranya kerana disyaki aktif melakukan jenayah pecah kedai sekitar Kuala Muda dan Pendang.

Lelaki terbabit berusia 24 tahun bersama rakannya, 21 tahun dan bapa saudara berumur 33 tahun dikenal pasti terlibat dalam tujuh kes termasuk tiga di Kuala Muda dan empat kes di Pendang membabitkan kerugian anggaran RM50,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pada 23 Jun lalu, suspek telah memecah masuk kedai DIY di Taman Gurun Jaya lebih kurang 9.35 pagi.

Menurutnya, suspek turut melarikan sebuah peti besi yang mengandungi wang tunai sebanyak RM11,102.65, kipas angin, penebuk dinding dan dua bekas perkakasan pertukangan.

"Lebih kurang sejam setengah selepas itu, suspek telah memecah masuk sebuah kedai perabot di Gurun dengan melarikan wang tunai sebanyak RM13,000, dekoder rakaman litar tertutup, cek dan buku cek," katanya.

Antara barangan dirampas termasuk Proton Wira, wang syiling berjumlah RM234, wang tunai RM1,100, peralatan pertukangan dan pelbagai barangan lain.

Adzli berkata, dengan tangkapan berkenaan, polis berjaya menyesaikan satu lagi kes pecah kedai di Kuala Muda dan empat kes lagi di Pendang.

"Modus operandi digunakan ialah menggunakan kunci pendua yang telah diubahsuai dan diasah bertujuan membuka pintu kedai sebelum melarikan wang tunai dan peti besi.

Artikel Berkaitan:

"Hasil semakan ujian air kencing mendapati ketua geng dan bapa saudaranya positif dadah," katanya.

Kesemua suspek direman 10 hari sehingga 6 Julai nanti.

Katanya, hasil rakaman CCTV membolehkan suspek dikesan dengan segera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah kedai.