Banteras judi terus dalam 'radar' Polis KL

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur giat memerangi kegiatan perjudian dalam talian (JOL) dan berjaya menangkap 794 orang kerana terlibat dengan kegiatan itu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sebanyak 89 serbuan telah diadakan dan polis berjaya merampas wang tunai RM98,357 dan 111 buah tablet, 1,100 buah telefon, dua buah Ipad, 333 buah komputer riba, 522 buah komputer, 101 modem, 55 router serta tiga simulator.

"Sementara itu, sebanyak 388 tangkapan dalam tempoh sama melibatkan kegiatan lain-lain jenis perjudian dengan nilai barang rampasan berjumlah RM97,393 telah diperolehi dalam serbuan-serbuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya akan mengenal pasti dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Undang-Undang Pencegahan Jenayah sedia ada, terhadap tauke judi dan orang tengah (runner) dalam usaha memerangi aktiviti JOL selaras dengan kehendak pucuk pimpinan PDRM.

Polis Kuala Lumpur turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dan kegiatan pelacuran, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat bolehlah menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel Berkaitan: