Usia 18 tahun sesuai guna telefon pintar

Sumber internet
Sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - Usia 18 tahun ke atas merupakan tempoh umur yang paling sesuai untuk didedahkan dengan penggunaan telefon pintar.

Kaunselor, Hushim Salleh berkata, ini kerana kebanyakan kes dikendalikannya yang melibatkan ketagihan penggunaan telefon pintar adalah dalam usia yang sangat muda.

Katanya, kanak-kanak yang terdedah terlalu awal dengan penggunaan telefon pintar tanpa pemantauan daripada ibu bapa akan mudah terkesan dengan apa yang dilihat dan ditontonnya.

“Ibu bapa perlu prihatin dan tolong jangan biasakan anak kecil anda dengan penggunaan telefon pintar.

“Saya pernah mengendalikan kes di mana anak kecil mengikut rentak bapanya bermain game di internet dan akhirnya menjadi khusyuk dan setiap kali bermain akan keluar iklan ataupun video yang tidak sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mengulas mengenai kes yang berlaku di Batu Gajah, Perak, Hushim berkata kes sebegintu bukanlah sesuatu yang baharu.

“Ini bukan perkara baharu cuma sebelum ini ia tidak mendapat pendedahan yang serius mungkin kerana malu dan sebagainya.

“Tahun ini sahaja saya sudah mengendalikan dua kes yang melibatkan ketagihan penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Ini perkara serius dan tidak boleh dipandang remeh. Jika 15 tahun dahulu kanak-kanak di negara ini ketagih menonton televisyen tetapi hari ini masing-masing ketagih telefon pintar,” katanya.

Dalam masa sama, Hushim menginatkan ibu bapa supaya memberikan tempoh masa kepada anak-anak semasa menggunakan telefon pintar.

“Benar, kita tidak boleh mengawal anak dan mengatakan tidak boleh kepada mereka apabila mereka mahu menggunakan telefon pintar.

“Jika di rumah kita dapat mengawal mereka tetapi di sekolah mereka akan terdedah cuma letakkan had semasa menggunakan telefon pintar sama ada sejam atau 45 minit.

“Ibu bapa perlu bertegas. Biar anak kita menangis hari ini dan jangan kita yang menangis di kemudian hari,” jelasnya.

Kelmarin, seorang murid lelaki berusia 12 tahun ditahan polis dipercayai merogol budak perempuan berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa, Batu Gajah, Perak.

Perlakuan terkutuk berkenaan terbongkar apabila mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan kepada ibunya akibat disentuh oleh suspek yang dipanggil abang, Khamis minggu lalu.