Suspek kes tipu jual saham diberkas polis

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Seorang ahli perniagaan dan rakannya, seorang akauntan ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap kes penipuan penjualan saham bernilai RM2.5 juta.

Kedua-dua mereka ditangkap semalam dalam dua serbuan berasingan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek pertama seorang ahli perniagaan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seorang lagi suspek ditangkap di Selayang.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh pengarah sebuah syarikat pada 26 April lalu yang mendakwa ditipu berkaitan penjualan saham syarikatnya berjumlah RM2.5 juta.

"Dalam laporan itu, mangsa mendapati wang hasil jualan saham syarikatnya tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda," katanya.

Artikel Berkaitan: