Mohd Azis dianugerah kedoktoran kehormat teknologi kreatif

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dianugerahi kedoktoran kehormat dalam kepimpinan semasa majlis konvokesyen Teknologi Kreatif Universiti LimKokWing yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Universiti berkenaan dalam kenyataannya hari ini menyebut bahawa anugerah kedoktoran itu sebagai mengiktiraf keupayaan istimewa Mohd Azis dalam pengurusan manusia dan kepakaran beliau dalam teknologi media bagi berhubung dengan orang ramai sebagai mencari penyelesaian terhadap isu sosial.

Bagaimanapun, Mohd Azis tidak menghadiri majlis itu kerana beliau mempunyai komitmen kerja dan anugerah kedoktoran kehormat itu disampaikan kepada beliau oleh Naib Presiden kanan universiti itu (pemerkasaan industri), Datuk Raja Aznil Raja Hisham semasa satu majlis di universiti berkenaan di Cyberjaya, Jumaat.

Mohd Azis dalam ucapan penerimaan beliau yang dirakamkan dan dimainkan semasa majlis itu hari ini berkata, beliau terharu untuk menerima penganugerahan kedoktoran itu daripada sebuah universiti yang tidak asing itu lagi yang diketuai oleh seorang personaliti yang dinamik, Tan Sri LimKokWing yang juga pengasas dan presiden universiti berkenaan.

Lebih 1,000 pelajar dari 60 negara menerima penganugerahan kedoktoran, ijazah sarjana, dan sarjana muda masing-masing daripada canselor universiti itu, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: