'Memang tak sangka, dia pernah luah hasrat nak berubah'

Lokasi kejadian seorang wanita ditikam suami hingga maut di Taman Seri Duyong Fasa 2, di sini hari ini. Gambar kecil: Samnah Mohamed.
Lokasi kejadian seorang wanita ditikam suami hingga maut di Taman Seri Duyong Fasa 2, di sini hari ini. Gambar kecil: Samnah Mohamed.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Tragedi seorang suri rumah maut ditikam suami di Taman Seri Duyong Fasa 2, di sini awal pagi tadi, nyata mengejutkan jiran tetangga di sekitar kawasan itu.

Rahim Hussein, 55, berkata dia mengenali mangsa dan suspek sejak berpindah ke taman perumahan itu lebih 20 tahun lalu dan rapat dengan keluarga berkenaan termasuk anak-anak mereka.

Menurutnya, suspek pernah menyuarakan hasrat untuk berubah ke arah lebih baik dan sering kali menasihatkan untuk memperbanyakkan solat dan solat berjemaah di surau berdekatan

"Saya dah kenal lama dengan suspek yang saya panggil 'Mahat' dan saya memang tak sangka perkara seperti ini boleh berlaku.

"Bulan Ramadan lalu saya nampak dia sering ke masjid untuk solat jemaah. Namun sejak kebelakangan ini dia banyak mendiamkan diri dan suka menyendiri, malah jarang saya nampak dia ke surau sekerap seperti Ramadan lalu," katanya.

Rahim Hussein
Rahim Hussein

Menurutnya, dia pun jarang mendengar suami isteri berkenaan bertengkar atau berselisih faham sehinggakan sukar mempercayai tragedi yang berlaku.

Sementara itu, Mohd Nor Syazwan Norahim, 19, berkata, dia terkejut melihat mangsa dan suspek yang ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah.

Artikel Berkaitan:


"Saya ada terdengar jeritan seakan meminta tolong sekitar jam 9.30 pagi tadi lalu bergegas ke rumah mereka.

"Saya dapati mangsa tidak sedarkan diri sementara suaminya dalam keadaan lemah. Saya kemudiannya terus menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Mangsa yang ditemui mati dirumahnya di Taman Seri Duyong, Fasa 2.
Mangsa yang ditemui mati dirumahnya di Taman Seri Duyong, Fasa 2.



ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah maut ditikam suami selepas bertengkar