Jual dadah di beranda rumah

Amran (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada Ops Sarang Khas.
Amran (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada Ops Sarang Khas.
A
A
A

PEKAN - Tindakan berani tiga individu menjual dadah secara terbuka di beranda sebuah rumah di Kampung Bentan di sini membawa padah apabila mereka ditahan sepasukan polis dalam Op Sarang Khas, Ahad lalu.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 33 hingga 36 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata, ketika ditahan ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sehingga hampir mencederakan pihak polis.

"Hasil pemeriksaan di beranda rumah berkenaan, polis menemui 16.58g heroin dan 0.92g syabu. Mereka disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dua lelaki itu juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah dalam ujian saringan awal polis.

"Polis membuat risikan selama dua bulan dan mendapati suspek menggunakan beranda rumah kampung sebagai 'port' penjualan dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Seksyen 39 memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Amran berkata, seramai 23 individu ditangkap dalam Op Sarang Khas yang dilaksanakan selama tiga hari bermula 28 Jun lalu, kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini dijalankan di sekitar kawasan FELDA Chini, Pulau Serai, Permatang Pauh dan Kampung Bentan. Kita juga merampas pelbagai jenis dadah termasuk syabu, heroin, eramin 5, ubat batuk dan air ketum dengan nilai kira-kira RM1,900.

"Kejayaan besar pihak polis dalam operasi ini adalah penahan tiga lelaki yang disyaki pengedar dadah berusia 22 hingga 25 tahun mengikut Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya.

Jumlah rampasan bernilai RM1,900.
Jumlah rampasan bernilai RM1,900.

Salah seorang daripada mereka yang ditahan di bawah LLPK adalah di Permatang Pauh iaitu kawasan Tanah Kesultanan Pekan.

Kesemua mereka yang ditangkap dipercayai mengedar di kawasan Felda Chunu, Perkampungan Pulau Serai dan Permatang Pauh.

Polis menasihati orang ramai untuk menjadi mata dan telinga serta melaporkan kegiatan dadah di kawasan masing masing.

"Orang ramai tidak perlu takut untuk menyalurkan maklumat kerana kerahsiaan mereka adalah dijamin," katanya.