Jasper tak mahu tunjuk contoh tidak baik

Penyanyi dan pelakon, Jasper Supayah
Penyanyi dan pelakon, Jasper Supayah
A
A
A

WALAUPUN kerlipan bintang ini di persada industri muzik seakan-akan tenggelam dalam kebanjiran ‘budak baru nak up’ atau BBNU yang lain, siapa sangka tuah Jaser Supayah lebih menyerlah dalam bidang lakonan.

Bermula dengan watak jahat menerusi drama rantaian popular Semusim Rindu, Jasper James Supayah atau lebih dikenali Jasper itu, terus diberikan kepercayaan untuk membintangi filem Polis Evo 2 bergandingan dengan aktres juga merupakan Ratu Cantik Malaysia/World 1992, Erra Fazira.

Dalam perkembangan terkini, selain bakal membintangi filem sekuel J Revolusi, Jasper, 26, akhirnya bakal melancarkan single solonya pada penghujung tahun.

No Image Caption



Menurut Jasper, lagu pertamanya berjudul Empati hasil ciptaan sepenuhnya Nami Harez turut diangkat menjadi runut bunyi untuk sebuah filem yang masih dirahsiakan tajuknya.

“Saya masih lagi seorang penyanyi. Itu adalah minat yang mustahil untuk saya tinggalkan biarpun kerjaya seni saya nampaknya lebih kepada bidang lakonan.

“Berita baik yang boleh dikongsi kepada peminat, saya tak lama lagi akan muncul dengan sebuah lagu baru sekitar bulan November. “Lagu itu pula akan sekali gus menjadi runut bunyi filem sebagai strategi promosi dan pemasaran.

“Oleh itu, besar harapan saya supaya kehadiran dan kemunculan saya dalam industri ini diterima baik oleh orang ramai dan bukan melihat saya sebagai mengisi kekosongan artis.

“Dengan adanya lagu baharu itu nanti diharap ia memberi impak yang besar dalam industri hiburan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai populariti, gadis berdarah kacukan India-Cina ini mengakui sedikit ralat dengan hakikat permainan industri seni hiburan.

Artikel Berkaitan:


No Image Caption



Menurutnya, dia pernah beberapa kali didatangi orang industri termasuk segelintir peminatnya untuk membuat cerita gosip ataupun kontroversi sebagai pengenalan diri di arena hiburan tempatan.

“Saya akui nama memang bersih daripada sebarang kontroversi ataupun gosip. Secara peribadinya saya memang kecewa bila mengetahui hal ini.

“Pandangan saya pada industri ini bukannya sebuah taman permainan tetapi ia lebih kepada kerjaya dan minat yang saya pandang serius.

“Saya tak menafikan impaknya ada bagus di mana orang akan mula mengenali siapakah pelakon ataupun penyanyi itu, nama juga mula disebut-sebut. Manakala buruknya pula ialah reputasi jatuh dan nama tercalar.

“Lagipun, lakonan kita mungkin akan ditonton oleh kanak-kanak dan saya percaya sebagai pelakon kita tidak mahu menunjukkan contoh yang kurang elok, nanti ibu bapa mereka akan pertikaikan,” katanya tegas.

Jasper ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri rakan artis di Johor Bahru.
Jasper ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri rakan artis di Johor Bahru.