Penoreh tertekan harga telur ayam mahal

12
12
A
A
A

BALING - Telur ayam yang dianggap makanan orang miskin bagi penoreh getah kini sukar dibeli golongan itu.

Wakil penoreh, Che Ya salleh, 58, dari Kampung Kuala Kuang berkata, penurunan harga telur dua sen tidak membantu meringankan beban penoreh.

Menurutnya, 10 biji telur masih berada di paras RM4 ke atas walaupun berlaku penurunan dua sen seperti diumumkan baru-baru ini.

"Orang kampung sekarang hadapi tekanan hidup, harga barang mahal sampai harga telur pun naik harga. Sebelum ni 10 biji telur berharga lebih kurang RM3.60.

"Telur ayam tu makanan orang miskin, tapi harga tu pun naik, teruklah kita ni," katanya ketika ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah yang turut dihadiri Adun Bayu, Abd Nasir Idris di Masjid Tiak di sini, hari ini.

Che Ya berkata, penoreh juga terbeban menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak memandangkan harga getah murah.

"Tetapi dengan adanya bantuan daripada NGO lapanglah sedikit dada kami ni. Nasib baiklah ada NGO, ringanlah sedikit beban kami ni," katanya.

Sementara itu, Abd Nasir berkata, pihaknya dengan kerjasama Muslim Care dan Geng Talaqi menyampaikan sumbangan keperluan makanan dan peralatan sekolah kepada 200 keluarga memerlukan.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban warga penoreh yang berdepan kejatuhan harga getah bertahun-tahun lamanya," katanya.