Zahid perlu berundur sukarela: Tun Abdul Hamid

Tun Abdul Hamid
Tun Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencontohi apa yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi memulihkan parti itu dan masa depan bangsa Melayu.

Abdul Hamid berkata, jika Ahmad Zahid enggan berundur dengan sukarela, maka Ahli Majlis Tertinggi UMNO perlulah mengambil pendirian, diikuti sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Malah bahagian-bahagian dan ahli-ahli UMNO, mereka hendaklah mengetepikan kepentingan diri dan memikirkan kepentingan parti dan bangsa Melayu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menganggap UMNO ibarat seorang pesakit jantung disebabkan cara hidupnya yang tidak sihat selama beberapa dekad, jantungnya tersumbat.

"Pada umur 72 tahun, ia kena serangan jantung, hampir mati. Tetapi, ia pulih semula. Belum dapat berjalan dengan baik, ia kena serangan lagi. Kali ini tidak ada jalan lain. Pembedahan jantung terbuka perlu dilakukan.

"Ini ujian terbesar bagi mereka. Dari situ kita boleh lihat mereka berpolitik untuk apa, tak usahlah bertempik di Dewan Merdeka di perhimpunan agung lagi," katanya.

Abdul Hamid berkata, keputusan Ahmad Zahid menamatkan percutiannya dan kembali semula memimpin UMNO sangat mengecewakan kerana tindakan itu akan menjejaskan pemulihan parti itu.

"Bagi saya, dengan berbuat demikian, pemulihan UMNO yang sedang berlaku bukan sahaja akan terbantut, malah akan mundur ke belakang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, UMNO perlu tampil ke hadapan dengan wajah baharu dan perlu mereka membersihkan diri daripada politik wang, rasuah serta penyalahgunaan kuasa.