DBP dan Era Digital

A
A
A

PETANG Jumaat 21 Jun 2019 mencatatkan satu lagi majlis yang bersejarah bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Petang itulah Sambutan Ulang Tahun Ke-63 telah dirasmikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Bersempena dengan sambutan tersebut, Dr Maszlee turut melancarkan terbitan digital DBP. Terima kasih diucapkan kepada beliau yang dapat hadir walaupun mempunyai jadual yang amat sibuk sehingga beliau terpaksa tiba ke majlis yang dijadualkan bermula pada jam 3 petang pada sekitar jam 4.20 petang.

Seramai hampir 450 orang tetamu hadir dalam majlis tersebut yang terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Naib Canselor Uniten, Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Ahli-ahli Lembaga Pengelola DBP, Timbalan Duta Besar Iran, Sasterawan-sasterawan Negara (SN), barisan Pengurusan Tertinggi DBP, Karyawan DBP dan rakan-rakan media. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil daripada 17 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Daripada jumlah sekolah tersebut, sekitar enam buah sekolah turut menghantar wakil dalam kalangan murid sebagai memenuhi undangan DBP. Bayangkan betapa penuh sesaknya Balai Budaya Wisma DBP yang dirasmikan pada tahun 1961 itu. Perlu dicatatkan bahawa Wisma DBP adalah sebuah bangunan yang diiktiraf sebagai bangunan warisan di Kuala Lumpur.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Malaysia Bersih serta diikuti dengan bacaan doa. Majlis juga dihidangkan dengan persembahan puisi oleh Datuk Seri (Dr) A Samad Said bertajuk Suara Dari Dinding Dewan. Selanjutnya ialah ucapan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan diikuti dengan tayangan montaj “DBP Dalam Era Malaysia Baharu”.

Dr Maszlee kemudiannya menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 dan melancarkan lebih daripada 500 judul terbitan digital DBP termasuk buku, majalah, kamus dan ensiklopedia dalam format ePub dan PDF. Bahan terbitan tersebut boleh diakses menerusi rakan niaga DBP iaitu portal e-Sentral dan Bookcapital. Jumlah ini juga merangkumi aplikasi e-buku interaktif kanak-kanak dalam Google Play. Selain itu, Dr Maszlee turut menyampaikan bait sajak bertajuk Zamur nukilan Mana Sikana.

Memorandum

Majlis seterusnya ialah penandatangan Memorandum Persefahaman DBP-Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Majlis itu seterusnya diikuti dengan penandatangan Surat Hasrat DBP-RTM (penerbitan adaptasi cerpen Pendoa Yang Ikhlas), DBP-RTM-Syarikat Mache Allstar United Sdn Bhd (penerbitan adaptasi novel Korban Kasih 1 dan 2) serta DBP-Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (Pertukaran Pelajar Malaysia-China). Majlis turut dimeriahkan dengan penyerahan sumbangan buku DBP kepada 11 buah sekolah, satu kolej vokasional, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pendidikan Guru, PORT Koloni Karyawan Amanjaya Perak dan wakil qariah masjid dari Kelantan. Sebelum majlis bersurai, Menteri Pendidikan sempat beramah mesra dengan murid-murid yang hadir dan menjawab soalan daripada rakan-rakan media.

Dr Maszlee turut mengadakan lawatan ke Pameran Ulang Tahun DBP Ke-63 sebelum berangkat pulang sekitar jam 6 petang. Dif-dif kehormat, sasterawan-sasterawan negara, para tetamu dan rakan-rakan media telah disajikan dengan jamuan ringkas setelah majlis selesai. Ketua Pengarah DBP sempat ditemu bual oleh beberapa pihak media bagi melahirkan pengharapan terhadap keberadaan DBP sebagai badan pengawal dan pemartabatan bahasa Melayu.

Majlis telah berlangsung dengan lancarnya hasil kerjasama yang sangat baik antara semua pihak dengan karyawan DBP. Ini membuktikan betapa kerjasama kita semua yang terlibat dalam usaha pembangunan bahasa Melayu serta penerbitan bahan bahasa kebangsaan kita sedang berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Setelah DBP melangkah masuk ke era digital ini, banyak perubahan sedang berlaku dari sudut pemikiran dan prasarana. Keluarga DBP mestilah menyesuaikan diri untuk terus berkhidmat dengan cekap dalam suasana baru. Reka bentuk kesemua sebelas majalah DBP telah diubah dan dikemas kini. Daripada kepala dan kulit majalah yang diubah semuanya untuk disesuaikan dengan citarasa semasa, hinggalah kepada cara penulisan yang baru dalam majalah – kesemuanya adalah perubahan era digital yang mengujakan.

Akhirnya, adalah diharapkan bahawa perubahan ini akan menjana kecekapan serta kesungguhan dalam kalangan keluarga DBP. Ini sekali gus menguntungkan pelanggan dan klien DBP, di samping menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu yang betul, kaya dan bertamadun.