Jangan mudah percaya, siasat sebelum terkena

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

“ADA pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan kemudiannya ‘pau’ kontraktor untuk mendapatkan tender,” kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Dr Maszlee berkata, ia pihak yang menyamar sebagai pegawai menteri dan menyalahgunakan nama kementerian mengutip wang daripada kontraktor yang mendapat tender kantin sekolah dan universiti.

Menurut beliau, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu untuk tujuan berkenaan.

“Sesiapa yang mengetahui mengenai perbuatan penyamaran ini diminta supaya rakam gambar individu terbabit sebagai bukti dan membuat laporan kepada polis dan SPRM,” katanya sambil memberitahu aduan diterima melibatkan kes di Johor, Sabah, Kedah dan Perak.

Macam-macam cara digunakan untuk menipu orang lain dengan ‘menjual’ nama VIP. Jika kita mudah percaya dan terpesona dengan apa yang dilihat di depan mata, maka kita akan terpedaya.

Begitulah yang terjadi ke atas sebuah kelab badminton sebuah taman perumahan di Selangor.

Mangsanya ramai dan yang ditipu pula bukan orang biasa-biasa. Ahli kelab ada yang kerjanya doktor, guru besar, atlet, peniaga hinggalah kepada usahawan berjaya.

Namun kerana mudah percaya dengan kata-kata lakonan dan penampilan, semua ahli kelab terpedaya dengan lelaki yang menyamar menggunakan nama Tom.

Artikel Berkaitan:

Tom mengaku dia pewaris harta UOA Group. Dia juga menjual nama VIP besar seperti Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary bagi meyakinkan ahli kelab badminton bahawa dia ialah orang kaya.

Dengan menggunakan taktik bergaya dengan kereta mewah dan menunjukkan sikap pemurah, ramai yang leka dan tidak menyiasat latar belakang Tom.

Apabila duit sudah lesap, barulah ada inisiatif hendak menyiasat latar belakang Tom. Rupa-rupanya dia pernah menipu di tempat lain dan kisahnya sudah didedahkan di internet dengan menggunakan nama samaran lain seperti Patrick, Michael Lee dan banyak lagi nama.