PAC perkenal Mesyuarat Pembentangan Maklum Balas MOF

Datuk Dr Noraini Ahmad
Datuk Dr Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memperkenalkan Mesyuarat Pembentangan Maklum Balas Kementerian Kewangan (MOF) untuk memastikan kerajaan memaklumkan setiap tindakan yang diambil terhadap rumusan dan syor dalam laporan PAC.

Pengerusinya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, MOF sebelum ini menghantar maklum balas secara bertulis terhadap rumusan dan syor laporan PAC, namun tiada sebarang pembentangan dibuat menyebabkan anggota-anggota PAC tidak dapat mengetahui maklum balas berkenaan secara lebih mendalam.

"Melalui mesyuarat pembentangan ini, anggota-anggota PAC berpeluang bertanyakan soalan terhadap setiap maklum balas yang diambil berdasarkan rumusan serta syor daripada laporan jawatankuasa ini," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media di bangunan Parlimen, hari ini.

Noraini berkata buat permulaan, PAC menetapkan 16 Julai ini bagi MOF hadir dalam mesyuarat pembentangan maklum balas dan surat telah dihantar kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Katanya, MOF diminta membentangkan maklum balas terhadap rumusan serta syor laporan PAC berhubung Pengurusan Projek Pembangunan Semula Kemudahan Sedia Ada di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (Projek 1) di bawah kaedah Public Private Partnership dan juga laporan PAC berhubung Pengurusan Marina Awam.

"Selepas mendengar pembentangan maklum balas ini, saya dan anggota-anggota PAC akan berbincang sama ada maklum balas ini perlu dibentangkan ke Dewan Rakyat atau tidak, bagi membolehkannya menjadi dokumen awam serta boleh diakses oleh rakyat,” katanya.

Noraini berkata, keputusan untuk membentangkan laporan maklum balas itu terletak dalam bidang kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.- Bernama

Artikel Berkaitan: