Sesi persekolahan di Pasir Gudang kembali lancar

Gambar fail. -FOTO BERNAMA
Gambar fail. -FOTO BERNAMA
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sesi pembelajaran di beberapa sekolah di kawasan Pasir Gudang hari ini dilihat berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden muntah-muntah dan sesak nafas.

Tinjauan media lebih sejam mendapati sekitar kawasan sekolah di sini juga tenang dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Seorang pengawal keselamatan sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid berkata setakat pagi ini, tiada pelajar atau guru yang mengadu mengalami sesak nafas atau pening-pening.

"Kalau awal-awal dulu, pagi-pagi dah ramai yang mengadu sakit kepala pening tapi setakat ini, alhamdulillah tiada sebarang masalah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan suasana di sebuah sekolah agama di kawasan berdekatan juga mendapati keadaan kembali normal dan kelihatan ibu bapa datang menunggu untuk mengambil anak masing-masing selesai sesi pembelajaran.

Selain itu, tinjauan di sekitar Pasir Gudang juga kelihatan para peniaga menjalankan perniagaan di kawasan masing-masing dan orang ramai meneruskan pekerjaan dan urusan mereka seperti biasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: